SYDNEY – Satu siasatan dilancarkan selepas seorang datuk tersilap membawa pulang cucunya sendiri dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Sydney, Australia, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Lelaki itu datang untuk membawa pulang cucunya dari First Steps Learning Academy di kawasan pinggir selatan Bangor, pada petang Isnin lalu.
Namun, dia secara tidak sengaja membawa pulang seorang kanak-kanak lain yang ketika itu sedang tidur di dalam sebuah bilik gelap.
Kesilapan itu hanya disedari apabila ibu kepada kanak-kanak tersebut tiba di pusat jagaan dan mendapati anaknya yang berusia setahun tidak berada di situ, lapor akhbar Sydney Morning Herald.
“Saya tidak boleh hendak gambarkan perasaan saya,” katanya kepada akhbar itu.
Namun, ibu itu turut menyatakan datuk berkenaan tidak patut dipersalahkan.
“Kami tidak marah dia. Kami tidak kecewa dengannya. Kami salahkan pihak pusat jagaan,” katanya.
Isteri datuk itu memberitahu Sydney Morning Herald bahawa suaminya berasa sangat tertekan dan telah mengaku kesilapan tersebut.
“Apabila sedar (tentang kesalahannya), dia terus bawa budak itu kembali dengan sangat cepat,” katanya.
Pihak First Steps memberitahu BBC bahawa pekerja yang terlibat dalam insiden itu telah digantung tugas. – AGENSI