BALIK PULAU – Wanita memakai kostum anime ‘Korumi Tokisaki’ yang maut terjatuh dari tingkat 28 sebuah kondominium di Bayan Lepas di sini, malam tadi dikatakan mengalami tekanan emosi selepas ditinggalkan kekasih dan hamil lima bulan.
Mangsa yang berusia 34 tahun dan tidak bekerja dijumpai dalam keadaan menyayat hati di petak parkir kereta di tingkat bawah kondominium tersebut oleh orang awam pada pukul 9.10 malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, maklumat itu diperoleh hasil hasil temubual dengan ibu mangsa.
Katanya, wanita itu juga mendakwa dia tidak menyedari tindakan anaknya termasuk dilaporkan sudah meninggal dunia.
“Hasil temu bual, ibu si mati mengatakan anaknya tekanan kerana ditinggalkan teman lelaki dan mengandung lima bulan, tetapi dia tidak tahu anaknya terjatuh dan meninggal dunia.
“Pemeriksaan oleh pasukan forensik kontinjen Pulau Pinang di dalam bilik kedua rumah si mati menjumpai kad pengenalan dan telefon milik mangsa.
“Tingkap dalam keadaan terbuka. Ada kesan tapak kaki atas meja yang diletakkan di tepi tingkap,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, hasil temu bual dengan jiran di tingkat 28 juga menyatakan si mati tinggal bersama ibunya. Dua beranak itu dilihat keluar masuk rumah tersebut.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita yang memakai kostum anime dan berambut perang itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kondominium di Bayan Lepas.
Difahamkan, kejadian disedari oleh penduduk selepas terdengar bunyi dentuman kuat di lokasi kejadian yang terletak berhadapan sebuah tadika. – KOSMO! ONLINE