KUALA LUMPUR – Remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang hilang sejak Jun lalu dilaporkan berada dalam keadaan baik, namun keadaan fizikalnya sangat kurus.
Ibunya, Minerva Balisong, 50, berkata, anak lelakinya itu kehilangan begitu banyak berat badan kerana hanya makan makanan segera.
“Keadaannya baik, dia (David) hanya makan makanan segera dan kehilangan banyak berat badan, tetapi saya tahu itu memang dia,” katanya kepada Kosmo! di sini malam tadi.
Minerva berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui David selepas rakan anaknya yang tinggal sebilik di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Kami baru sahaja menemuinya dan saya sendiri seolah-olah tidak percaya. Rakan sebiliknya melaporkan kepada polis tentang anak saya.
“Setakat ini kami masih menunggu pihak polis untuk mengambil keterangan David,” katanya.
Minerva turut melahirkan rasa syukur dan gembira apabila anak sulungnya itu ditemui dalam keadaan selamat selain berharap David tidak terjerat dalam mana-mana sindiket penipuan pekerjaan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang remaja warga Britain yang dilaporkan hilang selepas memasuki negara ini sejak Jun lalu ditemui dalam keadaan selamat malam tadi.
David ditemui di sebuah hotel di Jalan Pudu oleh sepasukan polis pada pukul 7 malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini ibu David merayu rakyat Malaysia supaya membantunya dan pihak polis untuk mengesan anaknya yang hilang tanpa jejak sejak tiga bulan lalu.
David, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester meninggalkan rumah keluarganya pada awal pagi 6 Jun dan memaklumkan abangnya bahawa dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur seorang diri. Sejak itu, dia mematikan telefon bimbitnya selain tidak membalas e-mel keluarga.
Remaja itu sempat membuat pesanan melalui e-mel kepada ibunya pada 9 Julai lalu.
Kandungan e-mel itu adalah tentang luahan hati Balisong meminta keluarganya supaya tidak bimbang dan cuba mencarinya selain mendoakan mereka supaya berjaya dalam kehidupan. Remaja itu turut memohon maaf kerana bertindak demikian. – KOSMO! ONLINE