BRATISLAVA – Jerman bakal menguji Slovakia pada aksi pembuka Kelayakan Piala Dunia 2026 awal pagi Jumaat dengan misi membuktikan mereka sudah bangkit selepas prestasi hambar dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) Jun lalu.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann kini berada di ranking kesembilan dunia FIFA, namun hanya mencatat 12 kemenangan daripada 23 perlawanan sejak jurulatih berusia 38 tahun itu mengambil alih pada September 2023.
Pertahanan menjadi isu utama apabila Die Mannschaft hanya merekodkan lima aksi tanpa bolos dalam 16 aksi terakhir, malah lebih membimbangkan mereka bolos sekurang-kurangnya dua gol dalam semua empat perlawanan sepanjang 2025.
Bagaimanapun, Jerman tetap menjadi pilihan utama dalam Kumpulan A selepas dijamin sekurang-kurangnya tempat ke aksi playoff berdasarkan ranking UNL, tetapi menjuarai kumpulan akan memberi tiket automatik ke Piala Dunia 2026.
Rekod kelayakan Jerman cukup meyakinkan apabila menang tujuh perlawanan terakhir selain menguasai tiga daripada lima pertemuan terdahulu menentang Slovakia, termasuk kemenangan 4-1 di Bratislava pada Oktober 2006.
Sebaliknya, Slovakia di bawah kendalian Francesco Calzona masih mencari rentak selepas empat perlawanan tanpa kemenangan tahun ini, termasuk kekalahan dramatik kepada Slovenia dalam playoff UNL.
The Falcons hanya pernah layak sekali ke Piala Dunia iaitu pada edisi 2010 di Afrika Selatan, namun sebagai pasukan kedua tertinggi ranking dalam Kumpulan A selepas Jerman, mereka tetap bertekad memberikan cabaran sengit. – AGENSI