JOHOR BAHRU – Persembahan kuda kepang tidak diharamkan selagi tidak mengandungi unsur syirik dan khurafat seperti sajian kepada makhluk lain, pemujaan dan hilang kewarasan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan mengeluarkan garis panduan baharu bagi memastikan persembahan budaya itu dan aktiviti lain tidak bercanggah dengan Islam.
Beliau berkata, garis panduan itu dirangka bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meliputi pelbagai aktiviti kebudayaan, silat dan sukan yang berkemungkinan mempunyai unsur penyelewengan akidah.
“Garis panduan ini akan melibatkan semua persembahan atau aktiviti yang mempunyai unsur sajian (kepada makhluk lain), pemujaan dan hilang kewarasan seperti permainan kuda kepang.
“Kita bukan nak hapuskan kuda kepang, tidak. Persembahan kuda kepang dibenarkan asalkan tidak mengandungi tiga unsur itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Timur Tengah Tahun 2025 di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, tiga lelaki dipenjara sebulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Syariah Batu Pahat kerana terbabit dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang.
Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, sejak tahun lalu, pihak JAINJ menerima 10 aduan berkenaan mereka yang menggunakan khidmat dukun di negeri ini. – KOSMO! ONLINE