BATU PAHAT – Kejadian gegaran lemah yang berlaku di Sri Medan, di sini, petang semalam yang dilaporkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengejutkan penduduk setempat.
Ini kerana mereka tidak menyangka kejadian serupa yang berlaku di Segamat minggu lalu merebak ke kawasan itu walaupun jarak kedua-dua daerah ini terpisah puluhan kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, kejadian serupa dikatakan turut menggegarkan kawasan Semerah pada 31 Ogos baru-baru ini apabila satu gegaran lemah 3.0 skala richter berlaku di Selat Melaka pada kedalaman 10 kilometer iaitu Kira-kira 28 kilometer barat daya Batu Pahat.
Bagaimanapun, katanya kedua-dua kejadian pada petang semalam dan Ahad lalu tidak dirasai oleh penduduk dan tiada sebarang kejadian membimbangkan berlaku.
“Walau apa pun keadaannya, infrastruktur di kawasan Batu Pahat wajar dinilai semula dari segi ketahanan seismik walaupun risikonya rendah.
“Kerajaan juga perlu mempertingkatkan kajian geofizik lanjut terhadap zon sesar di Johor selain MetMalaysia melakukan pemantauan berterusan,” katanya dalam majlis bertemu masyarakat di Kampung Parit Sentang Batu, Parit Sulong di sini hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya juga akan memberikan penerangan secara mulut ke mulut kepada penduduk di kawasan Sri Medan mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kejadian serupa yang lebih kuat pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE