fbpx
Nur Farah Wahdani berhenti kerja sebagai guru Taska untuk pulang ke kampung bagi menjaga bapanya, Samsudin yang sakit di Felda Sungai Koyan 2, Lipis.

Doa bapa lebih berharga daripada segala-galanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Seorang wanita sanggup kehilangan pendapatan dengan berhenti kerja sebagai guru Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Seri Kembangan, Selangor untuk pulang ke kampung bagi menjaga bapanya yang uzur di Felda Sungai Koyan 2, di sini.

Nur Farah Wahdani Samsudin, 28, berkata, bapanya, Samsudin Lop, 69, menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk angin pasang, gout dan darah tinggi yang menyebabkan beliau tidak mampu melakukan kerja berat seperti dahulu.

Katanya, kesihatan bapanya semakin merosot sejak ibunya meninggal dunia akibat kanser payudara pada Ogos 2020.

“Sejak itu dia hidup sebatang kara tanpa jagaan enam anak­nya. Selaku yang bongsu, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang untuk menjaga bapa.

“Bapa sering sakit sejak ibu meninggal dunia. Saya bimbang dia tinggal sendirian kerana abang dan kakak ada komitmen masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Nur Farah Wahdani, pengorbanan menjaga orang tua merupakan tanggungjawab yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit kerana doa seorang bapa lebih berharga daripada segala-galanya.

Tambahnya, bapanya telah menjalani pembedahan angin pasang di Hospital Kuala Lipis pada 5 Ogos lalu selepas beberapa kali tertangguh berikutan bacaan jantungnya yang tidak stabil.

“Pada mulanya bapa disyaki menghidap masalah prostat, namun selepas seminggu sakitnya tidak juga surut menyebabkan kami pergi semula ke hospital lalu doktor mengesahkan bapa ada angin pasang,” katanya.

Ujar Nur Farah Wahdani, bapanya meminta sendiri untuk dibedah kerana tidak tahan menanggung kesakitan.

“Itu buat saya sedar keadaannya semakin serius dan saya tidak sanggup lepaskan dia tanpa pengawasan.

“Abah tidak boleh makan sebarangan kerana risau gout dan angin pasang menyerang semula. Jadi saya pastikan setiap hari dia makan makanan yang sesuai dan lebih sihat,” katanya.

Ujarnya, meskipun terpaksa mengorbankan kerjaya, beliau bersyukur apabila rezekinya tidak terputus selepas pulang ke kampung apabila ditawarkan pekerjaan sebagai kerani di Koperasi Felda Sungai Koyan 2.

“Saya bersyukur keputusan dibuat tepat,” katanya

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akan Maybank Samsudin di 106070414009 atau menghubungi Nur Farah Wahdani di talian 011-2197 1614.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN