KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sebanyak 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dilaksanakan tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia susulan pengumuman peruntukan pada 23 Julai 2025 oleh Perdana Menteri berhubung pelaksanaan PJRM bagi tahun 2025.
“PJRM bagi tahun 2025, sasaran KPDN adalah untuk melaksanakan 20,000 siri PJRM iaitu peningkatan 191 peratus berbanding tahun 2023 dan peningkatan 61 peratus berbanding tahun 2024.
“Penganjuran ini meliputi 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang berhubung jumlah PJRM di seluruh negara dan jumlah pasar raya besar, kedai runcit serta pasar awam yang terlibat.
PJRM menawarkan penjualan barangan keperluan harian, makanan dan bukan makanan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa, sesuatu kawasan dan sekitarnya.
Armizan berkata, setakat ini sebanyak 15,308 PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara dari 1 Januari sehingga 31 Ogos lalu.
Menurut beliau, jumlah itu meningkat berbanding 12,419 PJRM pada tahun 2024 dan 6,870 PJRM pada tahun 2023.
Kata beliau, buat masa ini, penganjuran PJRM melibatkan kerjasama dengan rakan strategik untuk pelaksanaan melalui kaedah dalam premis, luar premis dan bergerak.
Jelasnya, sehingga 2 September 2025, bilangan rakan strategik yang terlibat dalam PJRM adalah sebanyak 1,234 peruncit.
Katanya, ia merangkumi pasar raya besar, pasar raya, pemborong, kedai runcit, koperasi, vendor logistik, pertubuhan dan 48 buah pasar awam. – KOSMO! ONLINE