KAJANG – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikejarkan ke hospital selepas diserang dan digigit anjing ketika bermain di sebuah kawasan perumahan di Batu 9, Cheras, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada abang mangsa berusia 20 tahun pada pukul 11.41 malam tadi.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa sedang bermain basikal berhampiran rumah sebelum diserang seekor anjing yang kebetulan berada di lokasi tersebut.
“Tindakan pantas jiran berjaya menghalau anjing itu. Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Kajang.
“Setakat ini mangsa masih berada di wad kanak-kanak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran kejadian itu, beliau berkata pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pergi ke lokasi dan menangkap haiwan tersebut.
“Status haiwan itu masih dalam siasatan sama ada peliharaan berdaftar atau sebaliknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi menerusi 017-6919817.
“Polis menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan selain memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi supaya kejadian seperti ini dapat dielakkan,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial video seorang budak lelaki digigit anjing namun berjaya diselamatkan penduduk. Gambar mangsa berlumuran darah itu mengundang rasa marah dan bimbang dalam kalangan pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE