BENTONG – Seramai 58,867 daripada 60,914 banduan di seluruh negara telah diluluskan pelepasan secara lesen sejak program itu diperkenalkan pada Oktober 2020.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dalam memberi peluang kedua kepada banduan untuk menjalani pemulihan di luar penjara sebelum kembali ke pangkuan masyarakat.
“Sejak Februari lalu, lebih 2,670 banduan telah diluluskan menerusi PBSL Fast Track yang memberi kelonggaran lebih pantas kepada mereka yang layak.
“Selain itu, 59 banduan golongan rentan termasuk warga emas, pesakit kronik dan wanita mengandung, turut menerima pelepasan khas sejak Januari 2024 sehingga bulan lepas,” katanya pada Majlis Pe58lepasan Banduan Secara Lesen Madani Yakin: “Kepulangan Yang Dinanti” sempena sambutan Hari Malaysia 2025, di Dewan Perdana Penjara Bentong di sini hari ini.
Beliau berkata, PBSL bukan sekadar pelepasan, sebaliknya kesinambungan proses pemulihan melalui latihan kemahiran, peluang kerjaya dan pengukuhan hubungan keluarga.
“Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, seramai 626 banduan lagi dibebaskan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 23 banduan dibebaskan di Pahang, melibatkan 14 lelaki dan seorang wanita dari Penjara Bentong, manakala lapan lelaki dari Penjara Penor.
“Dengan itu, jumlah keseluruhan pelepasan bersempena perayaan sepanjang 2025 mencecah 2,560 orang, termasuk ketika Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Aidiladha serta Pesta Kaamatan dan Gawai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE