NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh, manakala lebih 354,000 terjejas apabila banjir besar yang dicetuskan oleh hujan lebat membadai negeri Punjab di utara India, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pihak berkuasa mengisytiharkan kesemua 23 daerah dalam negeri itu terjejas selepas aras sungai dan takungan air meningkat ke paras bahaya.
Kira-kira 20,000 penduduk dipindahkan dari kawasan rendah dan ditenggelami banjir dengan beratus-ratus tempat perlindungan disediakan untuk mereka.
Ketua Menteri Punjab, Bhagwant Mann menyifatkan bencana itu sebagai banjir terburuk dalam sejarah sejak tahun 1988.
Punjab digelar sebagai ‘bakul makanan India’ kerana menjadi pengeluar utama hasil pertanian terutamanya tanaman ruji seperti gandum dan beras.
Banjir besar turut menenggelamkan tanaman meliputi tanah pertanian seluas kira-kira 148,000 hektar, demikian menurut pihak berkuasa.
Satu perempat daripada 30 juta penduduk bergantung kepada pertanian sekali gus menimbulkan kebimbangan apabila tempat mereka mencari rezeki musnah ditenggelami air.
Hujan lebat berterusan menyebabkan paras air di sungai Sutlej, Beas dan Ravi meningkat ke paras berbahaya. Banyak kawasan takungan air juga dilaporkan menghampiri kapasiti maksimum.
Seorang penduduk yang tinggal di tebing sungai Sutlej, Jasveer Singh memberitahu bahawa mereka terpaksa memantau paras air sepanjang malam untuk memastikan keselamatan mereka.
“Paras air tinggi. Empangan bocor. Di mana sahaja ia pecah, kami akan memperbaikinya dengan meletakkan guni,” kata Jasveer. – AGENSI