JURULATIH interim Singapura, Gavin Lee mahu menjadikan aksi menentang skuad Harimau Malaya sebagai medan pemanas badan buat pasukan sebelum mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027, Oktober depan.
Menurut Gavin, skuad Sang Singa akan bertemu India sebanyak dua kali pada bulan depan dan kekuatan Malaysia boleh dianggap setaraf dengan pasukan ranking ke-133 dunia itu.
Gavin berkata, antara fokus utama kali ini adalah untuk membentuk persefahaman terbaik dalam kalangan pasukan dan memburu keputusan positif.
“Perlawanan ini juga baik untuk kedua-dua pasukan sebenarnya, tetapi bagi kami, ini adalah peluang untuk membina pasukan dengan baik untuk persiapan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang India,
“Secara peribadi, kita tidak boleh kawal keputusan pada mana-mana perlawanan kerana banyak perkara yang akan mempengaruhinya.
“Namun, apa yang kami dapat pastikan ialah ialah kami akan berikan persembahan yang terbaik dan perlawanan yang menghiburkan,” katanya pada sidang media semalam.
Mengulas lanjut, Gavin enggan terlalu memikirkan kekuatan pasukan Harimau Malaya yang dibarisi ramai pemain berdarah warisan dari luar negara Ketika ini.
“Kami tidak fikir tentang kekuatan lawan walaupun mereka diwakili pemain berbakat. Lebih baik kami fokus kepada pasukan sendiri memandangkan perlawanan menentang Malaysia adalah derbi yang dijangka cukup sengit,” katanya. – KOSMO! ONLINE