PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan pasport didalangi warga Bangladesh bagi tujuan pemeriksaan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dalam operasi khas di dua lokasi di ibu negara semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan di dua kediaman di Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat JIM.
“Berdasarkan maklumat risikan selama tiga minggu, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki Bangladesh dipercayai dalang utama, selain tiga lagi lelaki warganegara sama disyaki ahli sindiket berusia 19 hingga 41 tahun.
“Semakan kita mendapati tiga lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan kerja Sementara (PLKS) di bawah sektor pembinaan, seorang memiliki pas pelajar dan seorang lagi tiada dokumen yang sah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, sindiket menawarkan pasport palsu melibatkan pelbagai negara seperti Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Nepal dan Indonesia.
Tambahnya, sindiket menjadikan kediaman yang diserbu itu sebagai pusat operasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa, selain menggunakan ejen warga Bangladesh untuk mendapatkan pelanggan.
“Siasatan mendapati pihak sindiket akan menggunakan wajah ahli sindiket di muka surat pasport, namun butiran yang tertera adalah milik pelanggan. Ahli sindiket yang ‘fit’ kemudiannya akan pergi menjalani ujian kesihatan menggunakan pasport palsu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE