PETALING JAYA – Pos Malaysia Berhad, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional memperkasa rangkaian penghantaran dengan penerimaan rasmi 136 van elektrik Maxus eDeliver 3 daripada Weststar Maxus dan rakan strategik pajakan, Yinson GreenTech.
Langkah strategik itu mengukuhkan komitmen syarikat terhadap matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah masa depan rendah karbon dan cekap tenaga.
Kenderaan elektrik (EV) baharu itu menyertai armada Pos Malaysia sedia ada yang terdiri daripada 1,252 unit kenderaan elektrik dua roda dan 264 unit kenderaan empat roda, sekali gus menjadikannya armada kenderaan elektrik terbesar dalam sektor logistik negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, pihaknya bukan sekadar menghantar surat dan bungkusan, malah menyampaikan masa hadapan yang lebih cemerlang.
Jelasnya, buat pertama kalinya, Pos Malaysia akan menghantar EV ke lokasi di Sabah dan Sarawak, memastikan armada EV Kumpulan dapat berkhidmat untuk rakyat di seluruh negara.
“Perkongsian strategik bersama Maxus dan Yinson GreenTech menghubungkan kami terus ke masa depan logistik. Ia merupakan kemenangan untuk pelanggan, kakitangan kami, dan yang paling penting, untuk planet kita.
“Dengan setiap surat dan bungkusan yang dihantar, kami menyemai nilai pemeliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial, serta tadbir urus yang baik dalam setiap aspek operasi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata, pengenalan Maxus eDeliver 3 ke dalam armada Pos Malaysia adalah detik yang membanggakan buat Weststar Maxus.
“Ia mencerminkan komitmen kami dalam memacu penyelesaian mobiliti lestari untuk negara.
“Maxus eDeliver 3 bukan sekadar van elektrik, ia adalah simbol inovasi, tanggungjawab alam sekitar, dan kekuatan kolaborasi antara peneraju industri yang berkongsi visi yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE