KUALA LUMPUR – Platform sistem sumber manusia (HR), MySyarikat dibawah Byond Tech Global Berhad telah melancarkan perancangan pusaka dan kesinambungan perniagaan pertama seumpamanya khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Byond Tech, Malik Hairuddin berkata, pelancaran itu melibatkan kerjasama strategik bersama Maybank Trustees Berhad.
Jelasnya, kerjasama itu akan membantu menyepadukan platform HR berasaskan awan dengan syarikat amanah berlesen yang disokong bank.
Sekali gus katanya, ia membawa elemen perancangan harta pusaka dan pewarisan ke dalam ekosistem HR digital.
“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada persediaan masa depan dan memperkasa PKS bukan sekadar untuk beroperasi dengan lebih baik, tetapi juga lebih bersedia.
“Legasi dan kesinambungan tidak seharusnya menjadi perkara terakhir. Dengan Maybank, kami menyediakan pemilik perniagaan alat untuk merancang dengan lebih jelas dan yakin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mysyarikat dengan Maybank Trustees Berhad di sini hari ini.
Untuk makluman, MySyarikat ketika ini menyokong lebih 27,000 perniagaan dengan 180,000 pengguna aktif di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Antara pelanggan termasuk Todak, Richiamo Coffee, UniKlinik dan Bawal Exclusive meliputi sektor hospitaliti, runcit, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Tambah Malik, MoU dengan Maybank itu juga adalah sebahagian daripada peta hala tuju pengembangan serantau serta persediaan ke arah tawaran awam permulaan (IPO) Byond Tech Global yang disasarkan pada 2028.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees, Nor Fazlina Mohd. Ghouse berkata, perancangan pewarisan adalah bidang kritikal yang sering disalah fahami atau diabaikan, terutama dalam kalangan PKS.
“Tanpa pelan pewarisan berkesan, perniagaan mungkin berdepan risiko besar dan ketidakstabilan apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
“Sebagai peneraju dalam amanah serta perancangan harta pusaka konvensional dan Islam, kami teruja merungkai halangan terhadap penyelesaian legasi melalui kerjasama ini.
“Matlamat utama kami ialah memperkasa pemilik perniagaan untuk merancang dengan bijak serta melindungi apa yang dibina dengan susah payah,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE