LEBIH 5,000 peserta hadir memeriahkan sambutan Hari Sarapan Milo (MBD) 2025 di Taman Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah baru-baru ini. Lebih menarik, acara kemuncak yang diadakan di Kedah itu berjaya menarik penyertaan keseluruhan seramai 75,000 peserta di enam lokasi utama seluruh negara.
Larian itu bermula di Putrajaya, Johor Bahru, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, sebelum berakhir di Kedah.
Acara edisi akhir telah dirasmikan oleh Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz, sekali gus menandakan penutup yang penuh bermakna bagi sambutan peringkat kebangsaan itu.
“MBD 2025 bukan sekadar sebuah acara, tetapi lebih kepada memupuk gaya hidup sihat serta mengukuhkan ikatan komuniti.
“Saya gembira melihat keluarga, rakan-rakan dan rakyat berkumpul dengan penuh tenaga serta semangat positif.
“Acara sebegini mengingatkan kita tentang kepentingan mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan diri.
“Saya berharap dapat melihat lebih banyak inisiatif yang menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat,” titahnya.
Tambah beliau, acara tersebut bukan sahaja meraikan impak program sepanjang tahun, malah menetapkan hala tuju untuk terus berperanan dalam menginspirasi generasi lebih sihat pada masa hadapan.
Sementara itu, salah seorang peserta, Hazim Akmal Hamizan, 28, berkata, biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal, namun tidak menghalang hasratnya untuk turut serta larian itu.
Meskipun berkerusi roda, anak sulung daripada tiga beradik itu hadir seawal pukul 6.50 pagi dari Kepala Batas, Kedah bersama keluarganya untuk menyertai larian santai sejauh tiga kilometer.
“Walaupun saya berkerusi roda, namun semangat saya tetap tinggi dan membuak-buak.

“Adik lelaki saya turut membantu menolak kerusi roda hingga ke garisan penamat.
“Saya turut gembira melihat ibu dan saudara-mara lain turut serta dalam acara ini,” katanya yang berhasrat menyertai lebih banyak larian serupa pada masa depan.
Acara itu turut dimeriahkan dengan penyertaan sebuah keluarga dari Taiping, Perak yang sanggup memandu selama tiga jam ke Jitra.
Nabilah Soalehin berkata, mereka sekeluarga amat teruja apabila sembilan ahli keluarga termasuk tiga anak saudara mengambil bahagian dalam larian santai itu.
“Kami selalu sertai acara bersama, dan pernah ke Putrajaya sebelum ini (lokasi pertama acara MBD 2025).
“Bagi kami, di Kedah paling menyeronokkan kerana bukan sahaja dapat bersenam dan keluarkan peluh, malah menerima sarapan berkhasiat, pingat dan cenderahati untuk dibawa pulang,” katanya.
Peserta juga tidak melepaskan peluang bergambar bersama selebriti yang dilantik sebagai Sahabat Milo iaitu Nadhir Nasar dan Erysha Emyra.
Selain larian santai, peserta turut menyertai sesi senaman kecergasan, mengunjungi pelbagai stesen dan kiosk interaktif Milo.
MBD 2025 turut bertepatan dengan ulang tahun ke-75 jenama Milo di Malaysia yang terus komited menyokong gaya hidup aktif serta pemakanan seimbang dalam kalangan rakyat.
Sejak mula dianjurkan pada tahun 2013, MBD telah berjaya menarik lebih 500,000 penyertaan, sekali gus menjadikan salah satu acara gaya hidup sihat paling dinanti-nantikan di negara ini.















