BRASILIA – Pemain sensasi Santos, Neymar mendedahkan dirinya tiada masalah kecederaan sekali gus menafikan dakwaan jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti selepas tersisih daripada senarai skuad kebangsaan menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 ketika ini.
Pada minggu lalu, Ancelotti telah mengumumkan senarai 23 pemain yang akan mewakili skuad Selecao bagi mengharungi perlawanan menentang Chile, awal pagi Jumaat ini dan Bolivia pada minggu depan.
Bekas pengendali Real Madrid itu membuat kejutan apabila tidak menyenaraikan pemain utama, Vinicius Jr. selain mendakwa Neymar masih mengalami kecederaan dan belum cergas untuk bersama skuad kebangsaan.
Namun, Neymar yang berusia 33 tahun percaya keputusan Ancelotti untuk tidak memanggilnya dalam skuad kebangsaan adalah disebabkan faktor taktikal berbanding isu kecederaan.
“Sebelum ini saya hanya mengalami kekejangan otot dan tidak serius sekali gus boleh bermain pada aksi liga bertemu Fluminense selama 90 minit baru-baru ini.
“Saya difahamkan, keputusan untuk tidak senaraikan saya dalam skuad kebangsaan atas faktor taktikal dan bukan isu kecederaan.
“Saya hormati keputusan jurulatih (Ancelotti) dan sekarang adalah masa untuk kita sokong skuad kebangsaan (dalam usaha meraih tiket automatik ke Piala Dunia),” katanya.
Ancelotti telah memilih jentera serangan yang lebih ‘muda dan bertenaga’ pada jendela antarabangsa ketika ini seperti Estevao, Gabriel Martinelli, Joao Pedro, Kaio Jorge, Luiz Henrique, Raphinha, dan Richarlison. – AGENSI