MELAKA – Seorang guru tahfiz berusia 22 tahun direman tujuh hari bermula hari ini selepas dipercayai kerap merotan anak murid lelakinya berusia 12 tahun sehingga mangsa mengalami lebam di beberapa bahagian anggota badan.
Perintah reman sehingga 9 September itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Alor Gajah, Aiza Khairuddin bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut sumber, kejadian terbongkar pada petang semalam selepas ibu mangsa mendapati anak lelakinya yang mendapatkan pengajian di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Bidara, Masjid Tanah kerap mengalami sakit badan.
“Ketika ingin memeriksa badan anaknya, pengadu terkejut apabila menemui kesan lebam yang baru dan lama di bahagian belakang badan, paha dan tangan serta kaki mangsa.
“Murid itu mendakwa lebam itu disebabkan dia dipukul guru tahfiz berkenaan menggunakan rotan atas pelbagai sebab dan kesalahan,” katanya.
Tambahnya, ibu mangsa kemudian menghubungi suspek untuk bertanyakan kejadian itu dan guru tahfiz terbabit mengakui telah merotan mangsa kerana muridnya itu sukar dikawal dan tidak mendengar arahan diberikan.
“Pengadu yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek kemudian membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah petang semalam. Mangsa juga telah diberikan borang Pol 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
“Bertindak hasil daripada laporan itu, suspek telah ditahan di pusat tahfiz berkenaan dan permohonan reman dibuat hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE