KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini dimaklumkan golongan lelaki turut berisiko menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kejadian itu bagaimanapun kurang dilaporkan.
Katanya, siasatan dibuat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Data (keganasan terhadap lelaki) dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Terdapat perbezaan (angka) daripada data dikeluarkan, tetapi lelaki juga berisiko jadi mangsa keganasan dan berhak mendapat sokongan,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson Wences Angang berhubung isu penderaan fizikal dan mental terhadap golongan lelaki.
Noraini berkata, KPWKM mewujudkan jawatankuasa keganasan rumah tangga pada 2019 bagi memantau dan menyelaras inisiatif kes keganasan rumah tangga.
Jelasnya, jawatankuasa itu bukan hanya membabitkan keganasan terhadap wanita, tetapi juga lelaki dan Talian Kasih 15999 yang diwujudkan juga bukan hanya untuk wanita.
Menjawab soalan asal berhubung inisiatif seperti i-Suri bagi suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa, Noraini berkata, mereka boleh menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mewujudkan skim itu untuk memberi perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri.
“Skim perlindungan ini boleh disertai suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa yang juga bekerja sendiri dalam usaha menjana pendapatan keluarga.
“Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diperluaskan kepada 20 sektor seperti perniagaan dalam talian dan teknologi maklumat.
“Individu bekerja sendiri termasuk suami yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman,” katanya. – KOSMO! ONLINE