WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan bahawa khabar angin mengenai kematian dan kesihatannya yang semakin merundum hanyalah palsu, lapor akhbar Metro UK.
“Ia agak gila selepas mendengar khabar angin itu. Minggu lalu, saya melakukan banyak sidang akhbar dan semuanya berjalan dengan lancar.
“Selepas selesai, saya tidak berbuat apa-apa selama dua hari dan mereka mula mencetuskan spekulasi bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan saya.
“Biden tidak melakukan apa-apa selama beberapa bulan dan tiada sesiapa yang berkata apa-apa sedangkan kita semua tahu dia sedang berada dalam keadaan tidak baik.
“Ia hanya berita palsu. Itu sebab media mempunyai sedikit kredibiliti,” kata Trump selepas ditanya sama ada beliau mengetahui tentang khabar angin itu di Pejabat Oval semalam.
Spekulasi itu muncul selepas beliau tidak dilihat secara umum selama beberapa hari pada minggu lalu selain gagal menyembunyikan kesan lebam pada tangannya.
Trump juga dilihat menutup kesan lebam pada tangannya semasa berucap di Pejabat Oval semalam. – AGENSI