WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan maut terhadap sebuah bot yang didakwa membawa dadah dan mempunyai kaitan dengan kartel Tren de Aragua (TDA), lapor portal berita CNN semalam, memetik kenyataan Presiden Donald Trump.
Trump berkata, seramai 11 orang terbunuh dalam serangan yang berlaku di perairan antarabangsa itu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pula memberitahu, serangan berlaku di Laut Caribbean selatan terhadap sebuah bot dadah yang bergerak dari Venezuela.
“Awal pagi tadi (semalam), atas arahan saya, Angkatan Tentera AS telah melancarkan serangan terhadap pengganas narkotik, TDA.
“TDA ialah organisasi pengganas asing yang beroperasi di bawah kawalan Nicolas Maduro (Presiden Venezuela), bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai, pengedaran dadah, pemerdagangan seks dan pelbagai tindakan keganasan di seluruh AS serta Hemisfera Barat,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social miliknya.
Sebelum ini, Washington telah mengerahkan sejumlah besar aset ketenteraan di sekitar Laut Caribbean dan rantau Amerika Latin, yang menimbulkan kemarahan Maduro.
CNN telah meminta kerajaan Venezuela memberi ulasan berhubung perkembangan tersebut.
Terdahulu, CNN melaporkan bahawa tentera AS akan mengerahkan lebih 4,000 anggota marin dan kelasi ke perairan sekitar rantau Amerika Latin dan Caribbean sebagai sebahagian daripada usaha memerangi kartel dadah. – AGENSI