fbpx
GELAGAT bersahaja Yeyen melayan ‘peminatnya’ sambil ditemani Muhamad Syawalluddin ketika raptai dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya minggu lalu.

‘Yeyen kucing merdeka paling viral’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seekor ku­cing berwarna oren bernama Yeyen bukan sahaja mencuri tumpuan, malah menerima sorakan ribuan penonton setiap kali kelibatnya melintas ketika raptai minggu lalu dan Sam­butan Hari Kebangsaan di Putrajaya kelmarin.

Menurut Lans Koperal (PA) Muhamad Syawalluddin Hadi, Yeyen merupakan kucing belaannya dan idea membawanya bersama dalam perarakan bukanlah sekadar untuk menarik perhatian penonton.

“Yeyen sebenarnya sudah dua tahun berturut-turut mengikuti perarakan Hari Kebangsaan, iaitu pada 2024 dan tahun ini.

“Berbeza dengan tahun lalu, Yeyen hanya tampil pada hari acara, kali ini Yeyen dibawa sejak sesi raptai lagi sehinggalah ke hari 31 Ogos menjadikannya menyertai sebanyak empat kali keseluruhan.

“Dia sekarang sudah terbiasa dengan suasana orang ramai, bunyi bising dan sorakan penonton,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai teruja melihat gelagat bersahaja Yeyen sehingga ada menggelarnya kucing ‘ter­paling viral Merdeka ke-68’.

Ujarnya, bagi memastikan ke­selesaan Yeyen, persiapan termasuk menyediakan snek ke­gemaran, air minuman, kipas mudah alih serta beg kucing.

“Kehadiran Yeyen sepanjang raptai hingga ke hari perbarisan disambut meriah apabila orang ramai bersorak memanggilnya ‘Oyen’, gelaran yang sinonim de­ngan kucing berwarna oren.

“Memang ramai yang teruja. Orang Malaysia memang ‘kenal’ sangat dengan telatah kucing oren, jadi tak pelik kalau Yeyen jadi perhatian,” jelasnya.

Katanya, antara pengalaman lucu adalah semasa raptai penuh apabila Yeyen tiba-tiba gementar lalu memanjat bahunya seolah-olah mahu ‘bersembunyi’.

“Namun, Yeyen berjaya ditenangkan kerana ia sudah biasa dibawa menaiki motosikal setiap hari,” katanya.

Dia mengakui cabaran untuk membawa Yeyen tidaklah terlalu membebankan kerana si bulus itu sudah serasi dengan suasana riuh dan orang ramai.

“Selepas ini, jika ada pameran anjuran jabatan, saya bercadang untuk bawanya sekali lagi sebagai tarikan kerana ia mampu menarik perhatian masyarakat,” katanya.

Katanya, di sebalik gelagat comel si bulus tersebut, terdapat mesej besar yang ingin disampaikan oleh ­Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Ia bagi menekankan bahawa peranan APM merangkumi ­khidmat kemanusiaan yang turut melibatkan penyelamatan haiwan.

“Timbulnya idea untuk bawa kucing ni adalah kerana ingin menyampaikan maklumat kepada orang awam bahawa tugas APM ini ialah menyelamatkan nyawa dan harta benda. Nyawa itu termasuklah binatang peliharaan atau lain-lain lagi,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN