SELEPAS bintang Velez Sarsfield, Imanol Machuca, Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat seorang lagi pemain warisan iaitu Hector Hevel yang kini disahkan mengalami kecederaan kaki.
Keputusan itu dibuat selepas penilaian penuh dibuat oleh pasukan perubatan pasukan dan pengendali pasukan, Peter Cklamovski mengambil pendekatan untuk membiarkan Hevel menjalani pemulihan bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, kekosongan itu segera diisi apabila Cklamovski memanggil seorang lagi pemain Harimau Selatan, Hong Wan.
“Semasa ketibaan mereka (pemain) dinilai oleh pasukan perubatan pasukan, kemudiannya kami akan terus memulakan latihan. Beberapa pemain dri Eropah akan tiba dua atau tiga hari sekarang. Gabi (Gabriel Palmero) akan tiba esok (hari ini), Rodrigo Holgado pula Rabu (esok).
“Malangnya Hector terpaksa diketepikan kerana kecederaan, jadi secara idealnya pasukan perubatan buat keputusan untuk dia menjalani pemulihan di kelab. Kami akan bawa Hong dan saya pun sudah bercakap dengannya.
“Dia begitu bermotivasi dan tidak sabar untuk bersama pasukan. Mentaliti Hong cukup kuat namun saya fikir adalah bagus untuk tidak meletakkan tekanan kepadanya,” katanya.
Skuad kebangsaan akan menjalani latihan pusat di Kuala Lumpur sebagai persiapan menghadapi dua perlawanan antarabangsa kelas A menentang negara jiran, Singapura dan pasukan di ranking ke 98, Palestin. – KOSMO! ONLINE