fbpx
Tangkap layar video dimuat naik Ahmad Musa di Instagrammnya hari ini.

Semangat sukarelawan Malaysia ke Gaza tidak luntur walau diuji cuaca buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Semangat sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza tidak luntur meskipun pelayaran mereka terganggu seketika akibat cuaca buruk di tengah laut.

Kapal yang membawa kumpulan itu kembali bergerak menuju wilayah bergolak berkenaan bagi memecahkan kepungan rejim Israel, sekali gus membuka laluan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza.

Perkembangan itu dikongsikan Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri yang turut berada di atas kapal melalui satu video di Instagram hari ini.

Katanya, misi kali ini penuh risiko kerana mereka belayar ke zon perang, namun keselamatan peribadi bukan keutamaan, sebaliknya penderitaan rakyat Palestin yang terus hidup di bawah kepungan Israel.

“Kita menuju Gaza, sebuah tempat yang (berada dalam) ‘warzone’, tempat bahaya yang kita tak tahu apa yang menanti di hadapan.

“Tetapi apa yang lebih penting sekarang bukan tentang kami, bukan tentang keselamatan kami, bukan tentang apa yang kami tinggalkan di Malaysia.

“Apa yang lebih penting sekarang apabila kita dah ada di atas kapal ini adalah kita nak bercerita tentang Gaza, tentang pembunuhan, kekejaman dan kepungan yang berlaku di sana,” katanya.

Menurut beliau, jika misi memecahkan sekatan Israel berjaya, koridor antarabangsa akan diumumkan dan lebih banyak bantuan dapat disalurkan ke Gaza.

Kelmarin, seramai 15 rakyat Malaysia belayar dari Barcelona, Sepanyol bersama sukarelawan dari 44 negara lain. Lebih 50 kapal membawa makanan serta ubat-ubatan menyertai misi berkenaan.

Selain Ahmad Musa, turut berada dalam kumpulan pertama itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana.

Kumpulan berkenaan dijangka disertai pasukan kedua yang akan berlepas dari Tunisia pada 4 September ini, dengan flotila dijangka tiba di Gaza dalam tempoh tujuh hingga lapan hari.

Sejak 2010, beberapa misi flotila antarabangsa pernah berusaha menembusi sekatan Israel, namun kebanyakannya dipintas atau diserang di perairan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI