HULU SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pegawai ke Thailand bagi mendapatkan maklumat berhubung penahanan seorang lelaki yang didakwa cuba menyeludup dua laras senjata jenis M16 ke negara ini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, lelaki itu masih ditahan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan dengan bantuan pihak berkuasa negara jiran.
Menurutnya, PDRM menerima maklumat berhubung tangkapan itu daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang menemukan beberapa senjata api dan peluru.
“Tahanan itu masih lagi berada di sana (Thailand) dan kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan yang mengatakan (senjata) ini akan dibawa ke Malaysia.
“Setakat ini, seorang individu ditahan dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana modus operandi dan organisasi suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Diploma Kepolisan dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, PDRM juga sedang menyiasat kenderaan dinaiki suspek berusia 42 tahun yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia.
“Di sempadan ini kadang-kadang keluar masuk itu perkara biasa terutama dalam kalangan ahli perniagaan dan pihak tertentu yang sentiasa berhubung antara dua negara.
“Namun, kita memang memperketatkan kawalan sempadan dan dari semasa ke semasa rondaan juga dijalankan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru dalam satu sekatan jalan raya di Danok, Sadao dekat Thailand, Sabtu lalu.
Suspek berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.35 petang ketika memandu sebuah kereta di Jalan Kanchanawanit.
Terdahulu, siasatan lanjut mendapati suspek menerima upah RM10,000 untuk menyeludup senjata api berkenaan. – KOSMO! ONLINE