PETALING JAYA – Presiden China, Xi Jinping menyatakan sokongan penuh beliau untuk menyegerakan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia satu penghormatan besar atas dukungan terhadap Malaysia untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia.
“Saya amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Presiden Xi serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.
“Meskipun kita sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau menyokong usul dan idea Jalur Sutra Baru (BRI) yang digagaskan oleh Presiden China.
Menurut beliau, BRI yang memperkukuh keterhubungan dunia, serta Global Governance Initiative (GGI) dicetuskan dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) kali ini.
Kata beliau, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala tahun lalu mencecah AS$106 bilion.
“Saya nyatakan kepada Presiden Xi akan komitmen Malaysia untuk memperkukuh eksport bernilai tinggi seperti E&E, aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas,” katanya. – KOSMO! ONLINE