IPOH – Seorang pengarah sebuah pasar mini didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual minyak masak melebihi harga kawalan pada April tahun lalu.
Tertuduh, J. Shanker, 43, juga berdepan hukuman penjara lima hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mahkamah turut memerintahkan agar wang jualan 47 botol minyak masak yang dirampas sebanyak RM485.85 itu dilucut hak kepada kerajaan melalui Pengawal.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh sebagai Pengarah Syarikat Mini Market Desa Rishah Sdn. Bhd. didapati menjual dan menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal iaitu minyak masak botol dua kilogram jenama Seri Murni selain mengikut harga yang ditentukan oleh Pengawal di bawah Seksyen 4, 5 dan 7 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Perbuatan itu dilakukan di Mini Market Desa Rishah Sdn. Bhd. di Taman Klebang Ria, Chemor di dalam daerah Kinta pada pukul 12.30 tengah hari pada 17 April 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.- KOSMO! ONLINE