PETALING JAYA – Seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara dua individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000.
Menurut sumber, perbuatan itu dilakukan sebagai balasan tidak meneruskan siasatan ke atas satu kes pergaduhan.
Kata sumber, kedua-dua suspek yang merupakan seorang wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditangkap sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat dan Sabtu lalu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat di mana suspek lelaki terbabit menjadi orang tengah meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM8,000.
“Suspek lelaki tersebut dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan kemudiannya memberikan wang tersebut kepada suspek juga secara tunai,” katanya hari ini.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Sekyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi suspek wanita manakala suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” ujarnya.
Sementara itu, Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan suspek yang merupakan seorang pegawai kanan polis direman mulai Ahad lalu hingga esok.
Manakala, seorang lagi individu direman bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini oleh Majistret Chan Jia Kay, selepas kedua-dua permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Mahkamah Majistret Putrajaya. – KOSMO! ONLINE