PETALING JAYA – Tindakan gopoh segelintir netizen mengaitkan seorang wanita yang membuat kekecohan sempena sambutan rasmi Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak kelmarin dengan bangsa tertentu dianggap amat berbahaya.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Dr. Rozaimi Ramle berkata, tindakan terburu-buru menyebarkan tuduhan berunsur perkauman adalah berbahaya kerana ia boleh mencetuskan api perkauman yang sukar dipadam.
“Ini adalah kegopohan dalam mengulas isu. Jangan cepat menuduh tanpa siasatan, apatah lagi melibatkan kaum dan agama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Allah SWT turut menegur sikap manusia yang gopoh menyebarkan berita tanpa usul periksa.
Katanya, terdapat pihak yang sentiasa menunggu peluang untuk menunggang isu panas dengan mengaitkannya kepada kaum tertentu.
“Kita kena sedar, jika api perkauman sudah marak, ia akan sukar dipadam. Sebab itu kita kena selidik dulu sebelum sebarkan berita,” jelasnya.
Beliau menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati menulis di media sosial dan tidak menjadi penyumbang kepada perpecahan masyarakat.
“Moga Allah memelihara Raja dan rakyat negara kita,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.