PETALING JAYA – Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril tampil bersuara mengenai kemelut rumah tangga mereka selepas mendedahkan bahawa dirinya pernah melalui episod penceraian sebelum ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Nur Syazwani berkata, keputusan yang dibuat hari ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia terpaksa dilakukan selepas pelbagai usaha mempertahankan rumah tangganya gagal.
“Tindakan saya hari ini berdasarkan apa yang saya lalui dan kehidupan saya sendiri. Saya yang lebih tahu kehidupan saya.
“Saya telah berkorban seluruh jiwa saya untuk keluarga saya, dari susah sehingga berjaya, dari tidak dikenali kepada seorang yang dipuja, dari sakit sehingga sihat dan kembali ke tahap terbaik. Bukan mudah untuk saya. Malah ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya lagi, terlalu banyak campur tangan dan dugaan yang dilalui dalam perkahwinan mereka sehingga memaksa dia akur dengan keputusan yang dibuat.
“Saya cuba pertahankan tapi terlalu banyak campur tangan dan onak dalam kehidupan saya. Tindakan saya hari ini bukan satu keputusan yang senang dibuat.
“Saya telah berusaha namun mungkin ini jalan yang terbaik. Ibu saya disuruh untuk mengambil saya, saya telah dipulangkan kepada ibu saya. Walaupun berat hati, saya ikutkan kehendak dia,” luahnya.
Terdahulu, Nur Syazwani dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor hari ini pada pukul 2.30 petang.
Difahamkan, proses itu hanyalah sebutan awal dan belum ada keputusan lanjut mengenai status perkahwinan mereka. – KOSMO! ONLINE