PORT DICKSON – Seramai 36 warga China termasuk lima wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu tawaran pelaburan membabitkan rakyat negara sama yang beroperasi di sebuah homestay di sini, bulan lalu.
Kesemua tertuduh yang bertindak sebagai penyelia dan pegawai perkhidmatan pelanggan berusia 21 hingga 39 tahun itu memaklumkan tidak memahami pertuduhan dalam bahasa Malaysia di hadapan Majistret Mohd. Farez Rahman.
Berdasarkan pertuduhan, mereka adalah pihak kepada suatu pakat jahat jenayah bersetuju untuk melakukan persediaan perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu menipu tawaran pelaburan yang menyasarkan warga China pada pukul 3.30 petang, 21 Ogos lalu di Taman Tanjung, di sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 120B kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Chang Kai Pang.
Pihak pendakwaan seterusnya tidak menawarkan sebarang wang jaminan atas beberapa faktor antaranya tertuduh merupakan warga asing dan mempunyai risiko melarikan diri.- KOSMO! ONLINE