BUKIT KAYU HITAM – “Setiap bulan kami akan ke Danok untuk berhibur dan mengambil ekstasi sebelum kembali ke Malaysia keesokan harinya.”
Demikian pengakuan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun setelah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini setelah didapati positif dadah menerusi Ops Merdeka, bermula semalam.
Remaja terbabit yang juga merupakan pelajar sekolah di Jitra, dekat sini mengakui sering mengikut teman lelakinya yang berusia 25 tahun untuk berhibur di sebuah pusat hiburan di pekan tersebut.
“Saya ikut teman lelaki sebab takut dia berfoya-foya dengan perempuan lain di sana. Kami keluar ikut sempadan di sini menggunakan pas sempadan pada petang Sabtu lepas bersama dua lagi rakan kami.
“Hari ini (Isnin) saya masuk semula ketika sempadan dibuka pada pukul 6 pagi untuk ke sekolah tetapi kena tahan,” katanya ketika ditemui di pejabat AADK Kedah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Remaja berkenaan mengaku sangat menyesal dengan perbuatannya itu dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.
“Ya! Saya sudah insaf dan ingin berubah sebelum terlambat. Selepas ini saya ingin menumpukan perhatian terhadap peperiksaan STPM sahaja,” katanya.
Sebanyak 23 individu yang ditahan AADK Kedah di ICQS Bukit Kayu Hitam itu setelah positif dadah menerusi Ops Merdeka bermula semalam. – KOSMO! ONLINE