PETALING JAYA – Peneraju global dalam bahan tambahan anti-penuaan untuk polimer dan kosmetik, Rianlon Corporation, telah menyatakan komitmen pelaburan berjumlah RM820 juta bagi membangunkan kilang serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu antara lain bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.
Beliau berkata, perkara tersebut dimaklumkan semasa Anwar bertemu Rianlon Corporation semasa lawatannya di Tianjin, China.
“Dalam sela program di Tianjin, saya sempat bertemu dua konglomerat China, Rianlon Corporation dan China Communications Construction Company Limited (CCCC).
“Bersama CCCC pula, saya meneliti perkembangan projek ECRL yang kini menjadi lambang persahabatan Malaysia–China di bawah Belt and Road Initiative (BRI). Insya-Allah, ECRL bakal merapatkan jurang pembangunan wilayah dan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Susulan itu beliau berkata, Kerajaan Madani akan terus berusaha untuk merancakkan pelaburan, memberdaya sektor berteknologi tinggi dan memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia – China yang berakar pada sejarah panjang, sekali gus membuka lembaran masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat. – KOSMO! ONLINE














