fbpx
Gambar fail gempa bumi di wilayah Herat pada 15 Oktober 2023. - AFP

Gempa bumi 6.0 landa timur Afghanistan, 9 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KABUL – Satu gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda wilayah timur Afghanistan berhampiran sempadan Pakistan semalam, demikian menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) seperti laporan saluran berita CNN.

USGS melaporkan bahawa gempa itu berlaku 27 kilometer di timur laut Jalalabad, wilayah Nangarhar dan pada kedalaman 8 kilometer. 

Ia berlaku pada pukul 11.47 malam (waktu tempatan). Model USGS menganggarkan gegaran itu boleh mengakibatkan beratus-ratus kematian.

Hampir setengah juta orang mungkin merasakan gegaran kuat hingga sangat kuat, yang boleh mengakibatkan kerosakan besar pada struktur yang tidak dibina dengan baik, demikian menurut USGS.

Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 25 yang lain cedera di Nangarhar, lapor agensi berita Reuters ketika memetik jurucakap jabatan kesihatan wilayah itu, Ajmal Darwaish.

“Malangnya, gempa bumi malam ini telah mengakibatkan korban manusia dan kerosakan di beberapa wilayah timur kami,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

“Ketika ini, pegawai dan penduduk tempatan sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa yang terjejas. 

“Pasukan sokongan dari ibu negara dan wilayah berhampiran juga sedang dalam perjalanan. Semua sumber yang ada akan digunakan untuk menyelamat dan membantu penduduk,” tambahnya.

Kira-kira 20 minit selepas gempa melanda, gegaran susulan 4.5 magnitud melanda wilayah sama, kata USGS, diikuti dengan gegaran susulan 5.2 magnitud, kedua-duanya pada kedalaman 10 kilometer.

“Kemungkinan besar mangsa terkorban dan bencana itu berpotensi meluas,” kata Zabihullah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN