fbpx
Pihak berkuasa Thailand menyekat laluan masuk ke kawasan letupan bom di Mukim Chuap, Daerah Cho-airing, Narathiwat, Thailand pagi tadi. - IHSAN POLIS THAILAND

7 letupan bom gegarkan Narathiwat, Pattani dan Yala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Dua cedera dalam tujuh siri letupan bom yang menggegarkan tiga wilayah Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani bermula tengah malam hingga awal pagi tadi.

Kejadian itu turut disertai dengan tindakan pembakaran tayar kenderaan di jalan utama di ketiga-tiga wilayah tersebut yang dilakukan oleh kumpulan yang tidak dikenali.

Sumber keselamatan berkata, kejadian pertama berlaku di Mukim To Deng, Daerah Sungai Padi dekat Narathiwat apabila tayar dibakar di atas jalan raya diikuti dengan letupan di lebuh raya berhampiran landasan kereta api di Kampung Aibatu pada pukul 7.40 malam.

Menurutnya, letupan itu terkena seorang ketua kampung dan sukarelawan apabila kedua-dua mereka mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian kedua berlaku di depan Masjid Dusunyior di Daerah Chanae, Narathiwat pada pukul 11.55 malam melibatkan satu letupan bom.

“Selepas sejam letupan itu, beberapa individu dilihat membakar tayar di atas jalan utama berhampiran pasar, tidak jauh dari masjid berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sumber itu memberitahu, letupan seterusnya berlaku di hadapan sebuah bank di Pekan Bacho, Daerah Bacho, Narathiwat kira-kira pada pukul 11.56 malam tadi.

Pihak berkuasa Thailand menyekat laluan masuk ke kawasan letupan bom di Mukim Chuap, Daerah Cho-airing, Narathiwat, Thailand pagi tadi. – IHSAN POLIS THAILAND

Menurutnya, selain itu, tiga letupan bom juga berlaku berturut-turut mulai pukul 12.05 tengah malam tadi tadi di hadapan sebuah bank di Mukim Chuap, Daerah Cho-airong.

“Satu lagi letupan berlaku berhampiran mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di hadapan Pejabat Pentadbiran Mukim Tamayung, Daerah Si Sakhon.

“Kejadian di Wilayah Yala pula bermula pukul 11.56 malam tadi dengan pembakaran tayar di atas Lebuh Raya 409 di Kampung Niang, Mukim Po Seng, Daerah Mueang,” katanya.

Menurutnya, sebutir bom lagi diletupkan berhampiran sebuah ATM yang terletak di sebuah stesen minyak di Mukim Budi, Mueang pada pukul 12.53 tengah malam.

Menurutnya, kejadian di Pattani pula melibatkan sebutir bom diletupkan berhampiran ATM Bank Islam Thailand di Mukim Puyut, Daerah Mueang, kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam letupan itu. Pegawai forensik dan pelupusan letupan masih menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi mengumpul bukti.

“Pihak berkuasa di Selatan Thai telah meningkatkan langkah pengawasan di seluruh kawasan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN