BUKIT GANTANG – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengambil inisiatif murni bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan menganjurkan Jualan Termurah Madani di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.
Beliau berkata, melalui program tersebut, pelbagai barangan keperluan asas ditawarkan pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.
“Antaranya, beras putih tempatan dijual pada harga RM20 sekampit 10 kilogram tanpa had pembelian khusus buat penduduk di kawasan itu.
“Turut ditawarkan ialah ayam segar pada harga RM8 seekor, kerang RM5 sekilogram serta hasil laut seperti ikan kembung, siakap dan kerisi pada kadar mampu milik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Syed Abu Hussin, pendekatan itu adalah penyelesaian sebenar (real solution) dalam membantu rakyat dengan memotong rantaian bekalan sekali gus mengurangkan kos pengangkutan yang sering menyumbang kepada kenaikan harga. – KOSMO! ONLINE