TEGAS mendidik empat anak yang masih kecil, penyanyi Robbie Williams mendedahkan menggariskan peraturan ketat tentang penggunaan telefon bimbit.
Menurut bekas anggota Take That itu, buat masa ini dia tidak memberikan keempat-empat anaknya telefon peribadi termasuk puteri sulungnya, Theodora Teddy Rose sudah berusia 12 tahun.
Williams menegaskan dia menetapkan perkara itu agar tiga lagi anaknya iaitu Charlie, 10, Colette Coco Josephine, 7, dan Beau Benedict Enthoven, 5, tidak mempunyai alasan untuk meminta alat komunikasi sama.
Biarpun anak-anak kerap mencetuskan protes, pelantun lagu Angels itu tetap teguh dengan pendiriannya kerana beranggapan tiada lagi keperluan buat kanak-kanak mempunyai telefon bimbit sendiri.
Bahkan Williams menyamakan telefon bimbit umpama candu yang hanya membawa kesan negatif terhadap budak bawah umur.
Bukan hanya gajet, dia dan isterinya Ayda juga mengelak mendedahkan permata hati mereka kepada umum demi memastikan kehidupan si kecil dapat dijalani sama seperti kanak-kanak lain.