fbpx
Shazeli

Polis dapat petunjuk baharu kes pelajar jatuh tingkat 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejadian seorang pelajar tingkatan tiga terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam bakal terungkai apabila pihak polis memperoleh petunjuk baharu berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini siasatan masih giat dijalankan dari pelbagai sudut bagi memastikan semua aspek diperhalusi sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Proses siasatan masih berterusan, namun ia menampakkan hala tuju yang lebih positif bagi mengenal pasti punca kejadian sebenarnya. Banyak pihak membantu polis setakat kini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini

Setakat ini, difahamkan, lebih 12 saksi termasuk pelajar dan kakitangan sekolah sudah dipanggil untuk memberi keterangan, namun Shazeli enggan mengulas lanjut mengenai jumlah sebenar saksi terlibat.

Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, dilaporkan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.

Mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Susulan kejadian itu, Kementerian Pendidikan turut melakukan siasatan dalaman berkaitan prosedur operasi standard keselamatan asrama.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan, mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HSB dilaporkan semakin stabil dan memberi tindak balas positif terhadap rawatan yang diterima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI