KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan hampir semua pemain akan melaporkan diri pada sesi latihan pusat di Kuala Lumpur, esok kecuali penyerang warisan kelahiran Argentina, Rodrigo Holgado.
Situasi ini kerana Holgado masih mewakili America de Cali bagi aksi Liga Colombia bertemu Alianza awal pagi esok sebelum mengharungi hampir 30 jam perjalanan dari Bogota ke Kuala Lumpur.
“Semua pemain akan tiba pada hari pertama sesi latihan tetapi Holgado mungkin laporkan diri satu atau dua hari kemudian (Selasa atau Rabu ini),” katanya.
Seramai 29 pemain telah dipanggil oleh Cklamovski dengan skuad negara akan bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis sebelum menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September depan. – KOSMO! ONLINE