ALOR SETAR – Kira-kira 40,000 pengunjung Dataran Medan Bandar, di sini terpaku seketika tatkala empat anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) muncul bergaya dari langit sebelum mendarat sambil mengibarkan bendera keramat.
Detik-detik mendebarkan pada Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Kedah itu bermula sebaik sahaja pesawat Fennec dari Skuadron 502 TLDM meluncur di udara, lalu empat penerjun keluar muncul satu persatu dari ketinggian 4,000 kaki di langit Kedah.
Sebelum langit ‘dibelah’, acara bermula dengan istiadat penuh adat ketenteraan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta kerabat diraja Kedah dan orang kenamaan lain.
Bukan itu sahaja, tujuh pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk lima Pilatus PC-7 MkII turut membuat terbang lintas hormat, seakan-akan melukis jalur patriotisme di dada langit Kedah. KOSMO! ONLINE