fbpx
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim diiringi Raja Permaisuri, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya, di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK

Agong pandu Proton Satria Neo ke sambutan Hari Kebangsaan 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Sambutan Hari Kebangsaan 2025 dengan tema ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’ membuka tirai secara rasmi pada pukul 8 pagi ini.

Acara sempena kemerdekaan negara ke-68 itu bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang menaiki kereta jenis Proton Satria Neo dipandu Seri Paduka Baginda.

Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan, Negaraku.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama.

Lagu Negaraku sekali lagi berkumandang serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan 14 das tembakan meriam.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh Ketua Pegawai Peperangan KD Sri Indera Sakti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Mohd. Firdaus Arbaain bersama 68 pelajar daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sebanyak 81 kontinjen membabitkan 14,062 peserta mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.

Selain itu, acara kemuncak yang dinanti-nantikan pengunjung melibatkan persembahan udara dengan formasi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia membabitkan persembahan formasi aset udara termasuk pesawat tempur SU-30 MKM, Hawk, A400M dan helikopter.

Persembahan ‘Citra MADANI’ yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara turut membabitkan pelbagai agensi, institusi pendidikan serta penggiat seni tanah air pula menjadi penutup acara berprestij berkenaan.

Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan; Malaysia Madani, Rakyat Disantuni yang disampaikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN