KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyasar peningkatan 20 peratus kemasukan pelajar pascasiswazah antarabangsa menjelang sesi kemasukan tahun hadapan.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, tumpuan enrolmen pelajar antarabangsa itu diberikan terhadap fakulti bidang penyelidikan teras seperti Sains Kesihatan, Peradaban Islam, Pertanian Lestari dan Inovasi Teknologi.
“Buat masa ini, UniSZA mempunyai 706 pelajar antarabangsa pascasiswazah dan sembilan peringkat prasiswazah.
“Biarpun menyasarkan peningkatan 20 peratus kemasukan pelajar antarabangsa, ia cuma kurang 10 peratus keseluruhan enrolmen sekaligus tidak menjejaskan keutamaan terhadap warga tempatan,” katanya di sini hari ini.
Fadzli berkata, buat masa ini, secara keseluruhan UniSZA mempunyai 14,274 pelajar.
Beliau berkata, UniSZA telah menambah dana biasiswa kepada RM300,000 selain memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa dan program mobiliti akademik bagi menarik minat pelajar asing.
“UniSZA telah menghasilan 669 penerbitan jurnal berimpak tinggi yang dihasilkan 13 penyelidik pasca doktoral dan 75 felo penyelidikan aktif dalam pelbagai bidang strategik.
“Kedudukan UniSZA dalam penarafan berprestij iaitu Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 juga melonjak pada kedudukan 1001- 1200,” katanya. – KOSMO! ONLINE