BALING – Dua ekor gajah liar yang memasuki kawasan berhampiran penempatan penduduk di Kampung Bukit Iboi, Kupang di sini beberapa hari lalu berjaya ditangkap dan dibawa keluar oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), hari ini.
Namun begitu, masih terdapat kira-kira lima ekor gajah liar dari kawanan sama yang dikatakan masih berkeliaran di kampung berhampiran yang membuatkan penduduk kampung berada dalam ketakutan.
Penduduk, Razak Che Ahmad, 66, berkata, masalah itu mula dikesan sebulan lalu apabila kawanan gajah turun dari arah Lata Chelak dipercayai dari Gunung Inas.
“Dianggarkan kira-kira tujuh ekor dalam kumpulan ini dan sering dilihat berkeliaran sekitar pukul 4.30 petang hingga malam di beberapa kampung iaitu Kampung Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi dan Kampung Iboi Masjid.
“Lebih 10 penduduk mengalami kerugian apabila hasil tanaman mereka seperti pisang, kelapa dan tebu rosak dimakan gajah. Ramai yang tak berani keluar menoreh,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Dr. Abdul Malik Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan awal pada Ogos lalu dan operasi menangkap bermula 13 Ogos lalu.
Katanya, pada 25 Ogos lalu, seekor gajah betina digelar penduduk sebagai Mek Empang berjaya ditangkap pukul 10.20 pagi, manakala anak jantannya Awang Iboi pula pada pukul 3 pagi, 27 Ogos lalu.
“Operasi pemindahan dilakukan pada pukul 9 pagi oleh anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan berakhir sekitar pukul 10.30 pagi manakala kedua-dua haiwan itu akan dibawa keluar sekitar pukul 2 petang untuk dihantar ke habitat asalnya
“Dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Sanom digunakan untuk membantu membawa keluar ibu gajah liar itu yang umurnya antara 25 hingga 30 tahun manakala anak kira-kira lima hingga enam bulan dan prosesnya agak mudah kerana disuntik dengan ubat pelali,” katanya.
Tambahnya, gajah-gajah liar itu akan dipindahkan ke tempat yang selamat dan berharap agar penduduk kampung sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan di sekeliling rumah mereka.- KOSMO! ONLINE