WASHINGTON – Satu pencerobohan bebola logam kecil telah dikesan berlegar di ruang udara Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ia menyebabkan Pentagon bertungkus lumus untuk mengenal pasti objek terbang tidak dikenali (UFO) itu.
Platform Enigma yang bergantung pada laporan atau maklumat daripada orang ramai mendedahkan lebih 8,000 laporan penampakan bebola logam tersebut di seluruh AS antara Disember 2022 hingga Jun tahun ini.
Daripada jumlah itu, 422 laporan secara khusus menggambarkan bebola logam dengan kebanyakannya dilihat antara pukul 1 pagi (waktu tempatan) hingga 4 pagi (waktu tempatan) berhampiran kemudahan tentera di New York, California dan Arizona.
Sebilangan saksi termasuk orang awam, juruterbang dan anggota tentera melaporkan melihat bebola tersebut terapung secara senyap sebelum bergerak pada kelajuan luar biasa tanpa meninggalkan sebarang kesan pergerakan.
Sebahagian penampakan itu berjaya dirakam melalui video atau radar walaupun kebanyakan daripadanya masih tidak dapat dijelaskan.
Namun, terdapat juga kes yang kekal tidak terungkai disebabkan kekurangan data.
Daripada 757 kes UFO itu antara Mei 2023 hingga Jun tahun lalu yang dikeluarkan dalam laporan tahunan AARO, 21 kes diklasifikasikan sebagai penampakan tidak dapat diselesaikan. – AGENSI