PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pengurus syarikat warga Bangladesh disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 3 September ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanudin terhadap suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an itu dipercayai melarikan diri ke negaranya ketika operasi dijalankan pada Jun lalu.
“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan pada pukul 9 malam semalam dengan bantuan pihak imigresen sejurus tiba di Malaysia.
“Suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu dan menerima wang rasuah berjumlah RM210,000 daripada pemohon permit,” katanya hari ini.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek mengemukakan dokumen kontrak kerja dan Sijil Perakuan Pendaftaran CIDB yang disyaki mengandungi butiran palsu.
Katanya, ia berkaitan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 untuk pekerja asing kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen bagi mendapatkan permit pekerja asing.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE