PETALING JAYA – NexG Berhad (NexG) mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2025, sebanyak RM72.6 juta, lebih dua kali ganda daripada RM36.1 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Peningkatan ini dipacu oleh transformasi berterusan yang didorong oleh pulangan pelaburan yang lebih kukuh dan juga pengurusan kewangan yang berdisiplin
Keuntungan Selepas Cukai melonjak 139 peratus kepada RM64.5 juta, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 2.01 sen berbanding 0.97 sen sebelum ini.
Walaupun hasil sebanyak RM88.5 juta sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh masa penghantaran kontrak berkaitan ID selamat dan pasport, keuntungan Kumpulan menunjukkan keupayaannya menjana pulangan mampan merentasi segmen perniagaan.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NexG Berhad, Datuk Hanifah Noordin berkata, keputusan sukuan ini mengesahkan bahawa syarikat bukan sahaja memperkukuh perniagaan terasnya dalam penyelesaian ID selamat tetapi juga meletakkan asas untuk pertumbuhan jangka panjang yang dipacu teknologi.
“Dengan lembaran imbangan yang kukuh serta sokongan berterusan daripada kerajaan dan sektor swasta, kami yakin dapat memberikan nilai mampan kepada para pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan.
Aset bersih sesaham turut mengukuh kepada RM0.1782, dengan jumlah aset meningkat kepada RM627.1 juta berbanding RM555.1 juta pada 31 Mac 2025.
Pada masa yang sama, tunai dan setara tunai berjumlah RM61.0 juta, mencerminkan kecairan yang kukuh untuk menyokong pengembangan dan pelaburan berterusan.
Segmen penyelesaian tersuai dan ID selamat kekal sebagai penyumbang utama, menjana hasil sebanyak RM73.8 juta, disokong oleh permintaan berterusan terhadap kad pengenalan negara, pasport dan perkhidmatan pemperibadian.
Bahagian pembuatan menjana RM14.6 juta, memberikan pendapatan yang stabil kepada Kumpulan, manakala pelaburan strategik dan aktiviti pegangan terus memperkukuh pulangan keseluruhan. -KOSMO! ONLINE