PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencatat hasil berjumlah RM2.019 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (Q2 FY2025), turun sebanyak 12.5 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu (Q2 FY2024) iaitu RM2.307 bilion.
Penurunan hasil ini h terutamanya disebabkan bayaran tenaga yang lebih rendah
direkodkan daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. selaras dengan penurunan harga arang batu terpakai (ACP).
Bayaran tenaga yang lebih rendah turut direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn. Bhd., loji janakuasa gas Kumpulan di Lumut, Perak.
Hal ini berpunca daripada faktor sesaran yang berkurang, sekali gus mengurangkan
sumbangan loji tersebut kepada grid.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin
Abdul Ajib menekankan kestabilan Kumpulan serta momentum berterusan dalam peralihan strategiknya ke arah pertumbuhan lestari.
“Kami terus beroperasi secara menguntungkan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan operasi Kumpulan dalam persekitaran sektor dan operasi yang mencabar. Daya tahan kewangan berjalan seiring dengan peluasan Kumpulan pada masa ini.
“Fokus kami adalah untuk mengembangkan perniagaan berteraskan tonggak strategik – Green Solutions, Environmental Solutions dan Energy, dijangka mewujudkan nilai jangka panjang yang melengkapkan inisiatif pertumbuhan lestari kami.
“Salah satu pencapaian penting yang baru-baru ini digapai ialah perjanjian konsesi Waste-to Energy bagi kemudahan Sungai Udang di Melaka.
Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya bagi Kumpulan dan direka bentuk untuk memproses sehingga 1,056 tan sisa pepejal perbandaran setiap hari, yang akan ditukar kepada kira-kira 22 MW tenaga boleh diperbaharui (RE) di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga yang akan ditandatangani bersama Tenaga Nasional Berhad.
Selain menjana elektrik bersih, projek ini akan memainkan peranan utama dalam memodenkan sistem pengurusan sisa negara, mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan dan menyokong matlamat ekonomi kitaran Kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI) adalah sebanyak RM62.8 juta dalam Q2 FY2025 berbanding RM93.6 juta dalam Q2 FY2024.
Sumbangan yang lebih rendah ini sejajar dengan prestasi hasil suku tersebut yang
terkesan akibat penurunan ACP, selain ketiadaan keuntungan sekali sahaja daripada
pengambilan tanah wajib yang direkodkan dalam Q2 FY2024. -KOSMO! ONLINE