BATU KAWAN – Hasrat Imigresen FC (IFC) untuk melakar kejutan ketika menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Batu Kawan hari ini tidak kesampaian apabila mereka mudah dijinakkan 0-3 oleh kelab dari selatan tanah air itu.
Babak pertama perlawanan menyaksikan pelawat mendominasi hampir sebahagian besar aksi terutamanya menerusi gandingan penyerang, Bergson da Silva, Jairo da Silva, Joao Figueiredo dan Arif Aiman Hanapi.
Bagaimanapun, kekebalan benteng pertahanan tuan rumah yang diterajui kapten, Rizal Ghazali menyebabkan beberapa peluang keemasan JDT untuk memburu gol terlepas begitu sahaja khususnya sepanjang 30 minit pertama perlawanan.
Kesungguhan JDT untuk merobek gawang IFC akhirnya berbalas apabila pemain tengah mereka, Jon Irazabal menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-43 hasil satu sepakan sudut yang diambil oleh Arif Aiman.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan itu terus ghairah untuk menambah jaringan apabila melancarkan serangan bertali-arus ke kubu Mighty Tigers.
Hasilnya, Jairo berjaya memanfaatkan bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol IFC, Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-58 untuk gol kedua JDT.
Figueiredo kemudian menambah derita tuan rumah apabila merembat kencang hantaran Jonathan Silva pada minit ke-77 sekali gus mematikan sisa-sisa perjuangan IFC untuk mencuri sekurang-kurangnya satu gol dalam perlawanan tersebut.
Kemenangan ke atas skuad kendalian Yusri Che Lah itu juga membolehkan JDT selaku juara bertahan mengukuhkan kedudukan mereka di persada carta Liga Super apabila mengumpul 12 mata maksimum daripada empat perlawanan yang diharungi setakat ini.- KOSMO! ONLINE