SINGAPURA – Sehelai bendera Sweden dilihat dikibarkan pada tiang di luar gedung perabot Ikea di Tampines, Singapura, lapor portal berita Stomp hari ini.
Ia merupakan satu kesalahan kerana mempamerkan bendera asing di Singapura.
Sebagai maklum balas kepada pertanyaan laman web Stomp, seorang jurucakap Ikea Singapura berkata: “Ikea Singapura mempunyai permit yang diluluskan Kementerian Ehwal Dalam Negeri untuk mengibarkan bendera Sweden di kedua-dua cawangan kami di Alexandra dan Tampines bersama-sama bendera Singapura.”
Seorang pembaca Stomp berkongsi gambar bendera itu bersebelahan dengan tiang yang mengibarkan bendera Singapura di luar gedung perabot rumah itu di Tampines North Drive 2.
Ikea merupakan syarikat menjual perabot dari Sweden.
Pembaca itu berkata: “Saya sudah lihat artikel bendera India dan China anda. Bagaimana pula dengan bendera Sweden?”
Dia merujuk kepada laporan Stomp sebelum ini mengenai bendera India yang digantung bersebelahan bendera Singapura di sebuah kondominium di Sengkang.
Pembaca itu juga merujuk kepada bendera China yang dipamerkan di tapak pembinaan kondominium di One-North.
Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Pameran) menyatakan bahawa mempamerkan mana-mana bendera atau lambang kebangsaan selain dari Singapura di tempat awam dianggap sebagai satu kesalahan. – AGENSI