JOHOR Darul Ta’zim (JDT) diramal tidak berdepan tugas sukar untuk membawa pulang tiga mata berdepan Imigresen FC dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang petang ini.
Atas kertas, peluang Harimau Selatan untuk menang lebih cerah termasuklah berpesta gol ke atas Imigresen FC setelah menang semua tiga perlawanan Liga Super musim ini.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, pemain perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan padang setiap kali beraksi di tempat lawan bagi membolehkan pasukan beraksi di tahap terbaik.
Katanya, keadaan padang yang berbeza berbanding Stadium Sultan Ibrahim tidak seharusnya menjadi alasan buat pasukan membawa pulang tiga mata berharga.
“Ini adalah perlawanan di tempat lawan yang kedua buat JDT selepas berkunjung ke Sarawak bagi berdepan Kuching City FC pada Ahad lalu. Pada perlawanan itu, JDT bergelut sebelum menang tipis 1-0.
“Ini adalah kemenangan yang penting buat pasukan untuk meletakkan JDT terus berada di puncak Liga Super dan mengekalkan momentum kemenangan itu.
“Pemain perlu bijak menyesuaikan diri di kondisi padang yang berbeza bagi memastikan segala taktikal dan corak permainan diterapkan diterjemahkan sebaiknya di atas padang,” katanya.
Dalam masa sama, Jairo ada Silva turut berpendapat JDT sebenarnya mampu bermain dengan baik sekiranya kualiti padang di gelanggang rasmi pasukan lawan berada dalam keadaan baik.
“Keadaan padang (tempat lawan) tidak membantu tetapi semua itu bukannya alasan. Ramai diantara kami adalah pemain baharu dan baru pertama kali bermain di stadium (pasukan lawan),” katanya. – KOSMO! ONLINE